Writing Is Just A Gift

Writing Is Just A Gift

28 Hari Tanpa Cinta

28 Hari Tanpa Cinta


JANUARI 2011
                Selamat Tahun Baru & Happy Birthday Cik Diari! Sorrylah Cik Diari sebab dah lama tak bercerita dengan Cik Diari. Bukan apa, sekarang ni Nia tengah sibuk sikit la Cik Diari. Yalah, tinggal beberapa hari lagi Nia nak bergelar isteri orang. Berdebar-debar rasa, malu pun ada…(~~!) Tapikan Cik Diari, bila Nia kenang semula kisah Nia empat tahun dulu Nia rasa macam tak percaya aje. Cepat betul masa berlalu, kan? (o_O) Tak sangka dari Nia SPM sampailah Nia tamat diploma, sekarang ni dah nak kahwin pun…(==!) Hari ni Nia ada masa terluang sikit sebab tu dapat bercerita kat Cik Diari dan Nia pun sempat baca kisah 28 hari Tanpa Cinta tu…(^^)


1 FEBRUARI 2007
                Nia terlalu sedih hari ini, Cik Diari. Nia tak tahu apa yang patut Nia rasakan sekarang. Terlalu bercampur baur sampai Nia sendiri janggal dengan perasaan asing ni. Sampai hati Fadli buat Nia macam ni. Cik Diari, apa yang patut Nia buat sekarang? Fadli dah putuskan hubungan kami disebabkan ini dia dah bertemu dengan perempuan lain. Tolonglah Nia Cik Diari, tahun ni Nia nak SPM dah tapi Nia rasa macam dah tak ada semangat…

3 FEBRUARI 2007
                Cik Diari, hari ni Nia nampak Fadli dengan awek baru dia. Sedihnya Nia rasa, air mata pun senang aje nak jatuh. Nia tak boleh kawal rasa sedih ni, Cik Diari. Su dengan Jamie dah puas nasihat Nia tapi air mata ni tetap nak mengalir jugak. Cik Diari, Nia tak sanggup Fadli tinggalkan Nia. Tolonglah, Cik Diari. Nia tak kuat…
                Ya Allah, Kau kuatkanlah semangatku. Kau Tabahkanlah hatiku, Nia mohon pada-Mu. Jika apa yang Nia lalui sekarang ini adalah ujian-MU pada Nia, Nia terima Ya Allah. Sesungguhnya Nia hanya hamba-Mu yang lemah tanpa bimbingan-Mu, Ya Allah. Berikanlah Nia petunjuk, berikanlah Nia apa yang terbaik untuk diriku, Ya Allah. Nia pinta kepadamu atas kerapuhan jiwa ini, Ya Allah. Berikanlah Nia yang terbaik, Ya Allah. Nia mohon pada-MU…


5 FEBRUARI 2007
                Nia cemburu sangat hari ni, Cik Diari. Hani dengan Rahman nampak bahagia betul kat dalam kelas tadi. Masa waktu rehat mereka makan sama-sama kat tepi bangsal tempat letak basikal. Cik Diari tahukan bangsal basikal tu pun pernah jadi tempat Nia dengan Fadli dating dulu. Nia tak dapat tahan airmata Nia bila teringat. Ah, susahnya!
Bila Cinta Di Dusta oleh Screen, Hati Yang Kau Sakiti oleh Rossa, Bila Bunga Dipetik Orang oleh Sejati dah jadi lagu kegemaran Nia sekarang ni, Cik Diari. Berbesen-besen airmata Nia keluar kalau boleh ditadah. Makin remuk redam hati Nia tiap kali dengar lagu-lagu tu, sungguh menyayat hati dan perasaan Nia…

7 FEBRUARI 2007
                Benci! Nia benci! Airmata Nia tak pernah nak berhenti! Nia penat! Penat setiap malam macam tak ada tanda Nia nak berhenti menangis. Makan pun Nia dah tak lalu. Cik Diari, seksanya putus cinta. Nia dah tak sanggup nak terus menangis…
Cik Diari, tadi Opah tegur. “Nia dah nampak kurus sangat, muka tu cengkung sangat. Kenapa dengan cucu Opah ni?” Lepas Opah tegur tu Nia terus masuk bilik. Nia nangis kat dalam bilik tu sampai tertidur. Esok pagi bila bangun mama membebel tengok mata lebam Nia. Mama tahu Nia putus cinta dengan Fadli. Tapi mama tak cakap banyak, mama cuma membebel aje. Bertambah-tambah kesedihan Nia ni, Cik Diari…

9 FEBRUARI 2007
                Hari ni Nia nekad, Cik Diari! Nia dah buang semua barang-barang yang Fadli pernah bagi Nia dulu. Rantai, cincin, teddy bear semua Nia buang! Nia tak sampai hati tapi Nia terpaksa dan Nia kuatkan hati Nia buang semua barang-barang tu. Menangis nangis Nia masa buang barang tu dalam tong sampah. Lepas tu Nia rasa macam nak kutip semula tapi mama ada berdiri kat situ tengok jadi Nia biarkan aje barang tu sampailah mama buang sampah tu keluar…

10 FEBRUARI 2007
                Mama suruh Nia pergi kedai petang tadi. Masa kat kedai tu, ada seorang budak lelaki ni. Nia tak pernah pun tengok dia selama ni. Mungkin ada keluarga baru pindah kat flat ni. Bila Nia pergi kat bahagian sayuran budak lelaki tu ikut Nia, dia tengok aje Nia pilih-pilih sayur tu. Time tu tak ada orang sangat, Mak Cik Ema aje yang jaga kedai. Cik Diari tahu budak tu tegur apa kat Nia? “Macam mana nak beza sayur sawi dengan kangkung?” Nia rasa macam nak ketuk aje dia tapi tak pun, Nia tunjuk aje mane sayur sawi dengan kangkung kat dia lepas tu Nia blah…

12 FEBRUARI 2007
                Budak sayur. Jamie yang kenalkan Nia dengan budak sayur tu. Budak sayur tu rupanya tinggal selang sebuah rumah dari rumah Nia. Sungguh Nia tak perasan tapi Nia pun tak heran. Budak sayur tu STPM, sama sekolah dengan Nia. Nia pengawas tapi tak pernah nampak dia pun. Cik Diari, Nia rasa perasaan sedih Nia masih tak hilang lagi sebab bila budak sayur tu melawak tadi sikit pun Nia tak gelak. Lepas tu Jamie kata Nia ni dah tukar jadi Zombi… betul ke?

13 FEBRUARI 2007
                Esok Hari Kekasih. Kelab Perpustakaan sibuk dengan aktiviti mereka, Flowers’ for Them. Nia pun kena join sekali sebab Nia pengawas sekolah walaupun tak ada kena-mengena dengan Kelab Perpustakaan. Macam-macamlah rancangan yang akan berlangsung esok. Kata Su, dia dah tempah bunga ros untuk Hakim. Jamie pulak siap buat coklat untuk Chew. Nia? Fadli awal-awal dah canang nak beli bear untuk Sakinah. Benci!  Nia rasa macam nak jerit je kat semua orang supaya jangan jadi bodoh sebab bagi benda-benda tak guna kat pasangan mereka.

14 FEBRUARI 2007
                Meriah sungguh hari ni, Cik Diari. Warna warni bunga-bunga hias pentas terbuka, semua hasil kerja budak-budak Kelab Perpustakaan. Nia cuma tolong sapu sampah aje tiba-tiba ada orang campak bunga Carnation kat kaki Nia. Nia tak tahu siapa punya kerja tapi mesti budak-budak lain saja nak kacau Nia, so, Nia sapu aje sampah dengan bunga tu sekali. Kan dah membazir. Hishh…budak-budak ni…

16 FEBRUARI 2007
                Budak sayur datang rumah Nia hari ni, dia datang dengan keluarga dia bawak sebakul buah-buahan dengan sayuran. Mak dia kata mereka baru aje sampai dari kampung. Saja pulang bercuti. Nia dengar lepas Nia hantar minuman kat mereka. Mak budak sayur tu ada tegur Nia, Nia pun ikut adatlah pergi salam mak dia. Mak dia siap peluk Nia lagi, Nia pun tak paham tapi Nia buat dek aje. Malas nak fikir. Nia pun tak tengok pun budak sayur tu sebab lepas tu Nia nampak ada buah mata kucing dalam bakul tu. Wah, favorite!

18 FEBRUARI 2007
                Cik Diari, Nia terserempak Fadli hari ni kat perpustakaan. Dia duduk sorang-sorang kat meja tu. Tapi Nia buat tak tahu aje, Nia borak aje dengan Jamie. Masa Nia pergi seksyen Sastera, Nia nampak dia ada di sebelah kat seksyen Matematik. Nia tak tahu dah berapa lama dia kat situ tapi Nia saja sibukkan diri lepas tu Nia blah. Nia sedih tapi Nia rasa Nia dah kuat sebab Nia tak menangis lagi macam awal-awal dulu. Kalau macam tu baguslah, Nia dah penat nak piker pasal dia sorang. Semak kepala!

20 FEBRUARI 2007
                Minggu sukan dah tiba. Bermakna minggu ni kami akan banyak meluangkan masa bersukan. Nia tak nak lepaskan peluang ni, Nia nak cuba semua jenis sukan. Nia nak menang banyak pingat. Yeah! Tapi Cik Diari, disebabkan kemurungan putus cinta tu Nia dapat gastric. Mama dah bising tiap kali Nia mengadu sakit perut bila Nia tolak makanan yang mama buat. Padanlah dengan Nia. Pagi tadi masa rehat Su pun bebel kat Nia sebab tak nak makan walaupun baru lepas muntah. Kebetulan pulak Fadli lalu kat sebelah kami. Agak-agak Cik Diarilah, dia dengar tak bebelan si Su tu? Kalau dia tahu, dia kisah tak?

22 FEBRUARI 2007
                Ada sehelai kertas kat bawah meja Nia hari ni, Cik Diari. Nia jumpa lepas habis rehat. Nia rasa sebelum tu bawah meja Nia kosong. Mungkin ada orang yang letak masa rehat, berani ya orang tu masuk kelas time rehat. Tak kena tangkap ke? Apapun Nia baca isi kertas tu. Cik Diari tahu tak orang tu tulis apa?
Dia kata “Patah tumbuh hilang berganti, yang pergi tetap pergi yang tinggal teruskan perjuangan dengan hati yang tabah. Pahlawan menentang dengan kekuatan tetapi hati menentang dengan kecekalan. Usah diungkit masa silam, ia takkan mungkin dapat diundur kembali melainkan membina kehidupan baru yang manis untuk dikenang. Mata kasar takkan mampu melihat dengan hati yang kosong melainkan keriangan memenuhi, apa yang tersirat pun boleh dibaca. Ketahuilah bahawa hanya manikam yang mengenal jauhari. Salam tulus dan ikhlas, senyumlah kembali.”

24 FEBRUARI 2007
                Sakit, Cik Diari. Kaki Nia terseliuh masa saringan lompat jauh. Macam nak tercabut rasa buku lali Nia ni. Lepas lompat jejak tanah tu Nia terus jatuh bergolek. Bila Nia buka mata tahu-tahu Nia dah kat kaki budak sayur tu. Malu gilalah, Cik Diari tapi budak sayur tu cepat-cepat angkat Nia bawak pergi bilik kesihatan. Dia dukung Nia tau tak, Cik Diari! Semua orang tengok dan yang paling best tu, Fadli pun tengok sekali sebab budk sayur tu lalu kat depan dia. Siang tadi budak sayur jadi hero, rasa nak ketawa pulak bila ingat semula. Lagi satu, budak sayur teman Nia balik sampai ke depan pintu rumah!

27 FEBRUARI 2007
                Nia tak pergi sekolah lagi hari ni, Cik Diari sebab kaki Nia masih sakit. Lepas budak sayur teman balik rumah hari tu, mama terus bawak Nia pergi klinik. Nia dapat cuti tiga hari. Aduh, bosan duduk rumah tiga hari ni tau tak. Lepas putus dengan Fadli, Nia takut duduk sorang-sorang sebab nanti Nia tak tahu nak buat apa, so otak Nia pun gatal teringat kat mamat jahat tu. Nia tak nak, nanti Nia menangis lagi. Nia penat dah nak menangis. Sebab frust menonggeng Nia dapat gastric, sekarang ni terseliuh kaki pulak. Eh, ada mesej la Cik Diari! Cik Diari nak tahu sesuatu tak? Nia dah bagi budak sayur tu nombor telefon Nia. Agaknya dia yang mesej tak?

28 FEBRUARI 2007
                Cik Diari, hari ni entry Nia panjang sikit. Banyak yang Nia nak kongsi dengan Cik Diari. Semuanya pasal Zairin, budak sayur tu. Untuk pertama kali setelah bersedih dan bermurung sepanjang bulan Februari ini, akhirnya Zairin berjaya buat Nia tersenyum dan ketawa. Nia tak sangka, Zairin rupanya sudah 28 hari mengenali Nia. Kata Zairin dia melihat Nia 28 hari tanpa cinta  sejak putus dengan Fadli. Itu pun dia lihat pertengkaran antara Nia dengan Fadli kat taman permainan pada hari pertama bulan Februari iaitu ketika kereta keluarganya melalui taman itu.
          Apa yang buat Nia rasa tak percaya, Cik Diari ingat lagi tak bunga Carnation tu? Yang Nia sapu tu? Sebenarnya Zairinlah yang campak dengan harapan Nia kutip dan simpan tapi dia kecewa betul bila Nia terus sapu bunga tu. Kelakarkan? Lagi satu lepas kes bunga tu, Zairin datang rumah dengan keluarga dia. Dia ada tegur Nia tapi Nia langsung tak perasan sebab masa tu Nia excited sangat tengok buah mata kucing yang selonggok dalam bakul yang dia bawa.
Dan yang paling mengejutkan, kertas dengan kata-kata semangat tu. Zairin yang tulis. Memang betul dia kena tangkap dengan pengawas. Dia cuba nak terangkan kat pengawas tu tapi pengawas tu tak percaya so terpaksalah dia bagi pengawas tu baca kertas yang dia bagi kat Nia. Pengawas tu tak jadi tahan dia tapi memang puas dia kena gelak dengan pengawas tu. Esok Nia nak cari pengawas tu, Nia nak sekeh kepala dia sebab gelakkan Zairin. Huh!
Perkara yang membuatkan Nia rasa hidup semula hari ni bila Zairin cakap “ Nia, disebabkan Nia dah 28 hari tanpa cinta jadi In nak bulan baru ni Nia rasa semula hari-hari dengan cinta? Boleh?”


FEBRUARI 2011
                Cik Diari, Nia seronok sangat. Abang In dah jadi suami Nia yang sah. Perkahwinan kami meriah sangat, ramai yang datang. Fadli pun ada tapi dia datang sorang aje. Nia ada tanya dia kenapa datang sorang tapi Fadli senyum aje lepas tu dia ucap tahniah kat Abang In then dia blah. Nia dah tak tengok dia kat majlis kami lepas tu, mungkin dia terus balik. Tak apalah, Nia dah tak kisah malah Nia dah tak pernah nak ingat pasal dia dah. Dalam fikiran Nia sekarang cuma suami Nia, budak sayur.
          Harap-harap hubungan yang Nia bina dengan Abang In selama empat tahun ini mampu mengukuhkan rumahtangga kami. Abang In memang penyabar dan baik orangnya. Nia ada belikan bunga Carnation untuk Abang In sebab dulu Nia hutang bunga tu, kertas yang Abang In bagi dulu pun Nia masih simpan dan paling penting perhatian Nia sekarang hanya untuk Abang In je bukan lagi buah mata kucing…(^^) <3