Writing Is Just A Gift

Writing Is Just A Gift

Love is...

Love is… Menyampah!!!

                ADOOIII!! Aku rasa seperti otakku mahu tercampak keluar sebaik kepalaku terhentak sesuatu yang keras dengan kuat. Macam roller coaster aku rasa. Aduhh, pening-pening! Adehh, sakit-sakit! Mak, tolong! Aku cuba memegang kepalaku dengan kedua belah tanganku dengan harapan aku dapat menstabilkan semula ‘gempa otak’ yang aku alami.
                “Aduh, sakitlah bodoh! Buta ke?! Tak nampak orang ke?!” tengking satu suara. Kuat dan lantang. Macam dia jerit betul-betul kat cuping telinga aku, eh tak, macam orang tu dah masuk dalam corong telinga aku pastu jerit kat gegendang telinga aku. Bingit!
                “Dah kiamat ke ni?” gumamku agak perlahan. Masih tidak stabil otakku rasanya. Ke dah pindah posisi?
                “Apa pulak kau merepek kiamat ni?! Gila punya perempuan! Tepilah!” suara lantang tadi mula hilang bersama derapan kakinya yang kencang memijak bumi. Entah berjalan ke menghentak tanah, yang pasti bunyi kasut tuan punya suara masih boleh aku dengar 100 meter jauhnya. Siapa yang gila aku pun tak tahu.
                Mangai…impak dia…boleh sewel aku macam ni. Agak-agak gegaran otak yang aku alami sekarang ni boleh tak melayakkan aku sebagai pesakit amnesia? Sebab aku rasa aku dah lupa kenapa aku boleh berdiri kat depan 7Eleven ni. Aduh, anybody home? Eh, anyone help me please?
                “Syuk! Apa kau ni macam orang gila jer ni? Lama betul aku tunggu! Kau pergi beli gula ke buat gula?” entah makhluk mana pula menjerit kat telinga aku kali ni tapi yang pasti makhluk ni kenal aku. Ya, itulah yang otak aku mampu fikir sekarang.
                “A…ada orang langgar a…ku, pening, biul, tak center. Tolong weh,” mengagau aku cuba mencapai makhluk yang ada di depan aku ni. Lantaklah, karang kalau aku gerak sorang-sorang tak pepasal aku rebah macam pokok kelapa kena tebang pulak.
                “Siapa langgar kau? Ish, ada-ada je la kau ni. Mari,” akhirnya makhluk itu memegang dan memimpinku. Kepalaku masih pening-pening lalat. Biarlah aku pejam mata ni dulu sampai otak aku center semula.

                MERIAH rumah aku hari ni, yalah, mak buat kenduri kesyukuran untuk aku yang dah selamat tamat pengajian lulusan University of Michigan dan sekaligus untuk majlis tahlil arwah abah yang sudah 10 tahun meninggalkan kami sekeluarga. Para tetamu seronok makan free malam ni yang aku jadi tukang cuci pinggan mangkuk kat belakang rumah. Eloklah tu, nak meraikan aku tapi aku jadi kuli pulak. Ini tidak adil!
                “Syuk, lepas basuh periuk tu pergi kemas kat ruang depan. Tadi ada budak jatuhkan makanan, mak nak pergi sembang dengan Nek Wan Mah kejap.”
“Ye, mak!” Arahan veto dari ibu kesayanganku yang aku takkan mampu bantah.
Mak aku ni lagi kejam. Suruh aku buat macam-macam yang dia boleh pulak pergi menyembang. Apa salahnya dia yang pergi kemas. Ni kerja membasuh aku ni agak-agak selamat siap sampai subuh. Menjemput tetamu pun tak beragak mak aku ni, dia ingat ni kenduri kahwin ke? Kalau aku tahu tadi, aku panggil budak catering je. Senang hidup aku. Tapi apapun kuota ni sentiasa tersemat dalam pala otak aku, Mom is always right. Hah, bukan pelanggan je okey.
                “Oit, mak cik! Tak habis membasuh lagi kau?” sergah sahabat seumur hidup aku, Nina. Aku malas nak jawab soalan bodoh dia. Dah terang lagi bersuluh dengan lampu spot light belakang rumah aku yang aku tengah membasuh berbalang-balang periuk tapi masih lagi nak mengutarakan soalan tak cukup sifat tu. Pelik aku dengan budak seekor ni. Bodoh dia tak pernah tak tunjuk.
                “Syuk, apasal muka kau macam jeruk masin ni? Nak aku tolong tak?” tegur Nina. Dia kini duduk bercangkung sebelah aku. Hah, keluar dah soalan pandai dia. Ada masa budak ni boleh guna jugak.
                “Kalau kau nak tolong, kau pergi depan tolong kemas apa yang patut. Mak aku pergi menyembang tinggalkan aku buat kerja sorang-sorang,” aduku. Tanganku kuat menyental kotoran degil yang melekat di periuk besar itu. Memercik buih sabun aku kerjakan periuk tu. Agak-agak kalau mak aku tengok mesti dia bebel cakap aku nak lubangkan periuk dia. Aku pun tak paham, ingat aku kuat sangat ke sampai nak lubangkan periuk besi ni?
                “Ramai orang la, aku malu. Kau aje la pergi, biar aku yang basuh periuk ni. Bak sini,” Nina merampas periuk yang aku sental tadi. Tercengang-cengang aku tengok sahabat aku ni membasuh periuk tu. Dengan bontot dia tertungging-tungging. Karang tak pasal-pasal sujud depan periuk kang la budak ni. Ah, biarlah. Pandai-pandailah dia selamatkan diri dia.

                AISEHMAN! Ni makan ke buat tepung tawar nasi ni? Toyol manalah punya kerja ni? Saja nak menguji batas kemarahan aku. Karang aku membebel nanti ada mulut laser kata aku tak ikhlas buat kerja pulak, tak hormat tetamulah. Nak hormat macam manalah kalau adab bertandang rumah orang pun tak jaga? Ish, kadang-kadang aku pun tak paham bangsa aku ni. Orang-orang Michigan pun tak macam ni.
                “Syuk, kenalkan ni Nek Wan Mah. Nenek saudara belah abah,” sedang aku syok kemas tu mak muncul pulak dengan seorang nenek. Aku buat sopan je la, salam cium tangan.
                “Dah besar panjang Syukirah ni, ya Limah? Cantik,” puji Nek Wan Mah. Aku sengih bangga dalam hati. Cantik dan ayu, nek. Tambah ayu tu, penting tu. Selorohku dalam hati je. Kalau cakap depan-depan nanti aku dapat ‘hadiah’ sepit ketam dari mak aku ni.
                “Nenek datang dengan siapa ni? Dah makan dah? Tidur mana malam ni? Tidurlah sini, boleh teman mak ni sembang. Saya nak layan mak cakap tak larat nek, banyak cerita dia tak habis khatam lagi.” Hah, ambik kau. Selamba badak aku sakat mak aku. Tapi takut gak kang mak aku bagi sedas jelingan maut tapi mood mak terbaik malam ni. Dia gelak je, Nek Wan Mah pun gelak.
                “Nenek datang dengan Pakcik Mansur dengan anak dia, Iqmal, sepupu kamu jugak. Dah jumpa dah?” Nek Wan Mah ni sekali dia senyum macam ada bayang arwah abah pulak. Eh, memanglah. Dah memang keluarga terdekat abah, kan.
                “Entahlah, nek. Saya duduk bertenggek je kat belakang basuh periuk, baru ni keluar kemas ni.” Jawabku sambil menunjukkan penyapu dan pengaut sampah di tanganku.
                “Tak apalah, Nek Wan. Biar dia kemas dulu, nanti bila semua dah balik kita berkumpul. Biar kenal-kenal saudara dia mana yang dia tak kenal. Jom, kita duduk kat ruang tamu. Syuk, sambung kemas tu,” mak menggunakan kuasa vetonya lagi. Aku sengih buat-buat. Mak nampak tapi dia buat tak tahu je. Mak kejam!

                GAINT punya gorilla! Boleh pulak mak aku isytiharkan dia sepupu aku. Siap kata masa kecik-kecik dulu kami main pondok-pondok sama-sama. Citt, tak sangka aku bodoh juga masa kecik-kecik dulu. Mak lambat daftar aku masuk sekolahlah sebab tu jadi macam tu. Alamak ai, apa ke malang nasib aku balik Malaysia ni?!
                “Owh, yang cakap kiamat depan 7E tu Syuk, ye? Abang ingatkan perempuan manalah, rupanya sepupu sendiri. Sungguh abang tak ingat,” ujar Iqmal dengan gelak dia. Tapi aku dapat rasakan aura gelak dia tu bukan ikhlas tapi saja nak mengejek aku. Berani kau ya!
                “Syuk pun ingat gorilla manalah yang terlepas boleh masuk shopping dalam 7E tu, rupanya sepupu sendiri. Dashyat jugaklah Abang Iqmal jerit kat Syuk, rasa macam lepas gempa bumi kena ribut taufan pula.” Terkekeh-kekeh aku gelak. Konon-konon lucu. Mak, Nek Wan Mah, Pak Cik Mansur dengan Nina yang tak tahu menahu gelak je dengan lawak sengaja nak mengena tu. Abang Iqmal sorang tak gelak dengar lawak aku. Terasa dah bisa ‘senapang patah’ aku. Rasakan!
                “Nek Wan Mah ni datang berhajat, Limah. Mansur ni, dia nak cari menantu, isteri untuk si Iqmal ni. Nek Wan pun terus teringat kamu. Kebetulan pulak kamu jemput datang kenduri ni, alang-alang je Nek Wan teruskan hajat ni.” Hah, giliran Nek Wan Mah pulak melawak. Lawak Nek Wan ni cuma Nina dengan Pak Cik Mansur je yang gelak. Sah, Nek Wan memang hebat melawak. Lawak nak suruh aku bunuh diri! Tidak!!!!

                “CINCIN tak payah grand sangat, sedang-sedang cukup. Yang belah rotan tu pun okey,” Iqmal menalakan jari telunjuknya pada set cincin di dalam kotak kaca. Aku merenung gorilla gaint tu dengan sepenuh perasaan benci dan aura membunuh.
                “Tak payah moden sangat baju kahwin ni, warna pun biar putih aje. Sakit mata tengok warna terang-terang ni. Hah, yang krim ni pun boleh tahan jugak.” Iqmal mengambil sepasang persalinan baju pengantin dari set yang ditunjukkan oleh pekerja butik. Aku mengetap gigi kuat sampai aku rasa macam gigi aku ni nak masuk ke dalam gusi semula.
                “Tak nak coklat kek, biar kek fondant biasa. Make it vanilla,” pesan Iqmal pada pekedai kek sambil membelek-belek buku contoh kek di hadapannya. Aku menggenggam jari-jemariku kuat hingga aku rasa macam nak patah riuk tulang jejari aku.
                “Pelamin nak yang simple je ya? Saya tak suka bunga ropol-ropol ke labuci berterabur ni, silau mata saya. Buat asas lagi bagus,” berkerut-kerut dahi Iqmal melihat gambar-gambar contoh pelamin. Aku rasa macam nak hentak aje bakal suami aku ni dengan kerusi kahwin contoh yang ada kat pentas pelamin tu. Biar dia mati sebelum kami kahwin!
                Boleh gila aku dengan mamat gorilla ni. Badan dah macam Malik Nor tapi otak perangai macam langau! Kenapa wujud lelaki macam dia ni? Aku pun tak paham kenapa mak terima? Dan aku pun tak paham kenapa aku boleh ikut dia buat persiapan perkahwinan kami yang sekarang ni cuma berbaki beberapa hari lagi.
                Nina dah puas gelak kat aku. Dan soalan bodoh dia tanyakan aku. “Kau nak kahwin?” Entah kenapa aku rasa macam nak paksa rela Nina ganti tempat aku masa kahwin nanti. Mungkin sesuailah gorilla dengan si bengap ni. Tension aku! Tak paham-paham jugak sahabat aku yang sorang ni. Tolong! Aku dikelilingi makhluk asing!

                “SAH!”
                Aku tak tahu siapa yang jadi saksi nikah kami sampai suara semangat penuh kebanggaan dia jelas kat telinga aku yang duduk menyorok kat tepi katil dalam bilik ni. Dengar lafaz akad pun tak tiba-tiba perkataan ‘sah’ clean and clear je aku dengar. Macam tak betul jer babak sekarang ni, tak akad lagi mana boleh sah. Batal, batal!
Awal-awal tadi aku dah halau mak andam dengan Nina keluar bilik. Pintu pun aku dah kunci. Mujur tak ada selak besi, kalau tak nak jugak aku selakkan pintu ni dan praktikkan macam dalam cerita kartun Donald Duck yang aku tengok semalam. Biar tak ada siapa boleh masuk!
Aku nak lompat terjun tingkap pun aku takut pulak nanti aku patah kaki ke, tertusuk besi pagar ke, retak tengkorak ke. Tak ke naya aku nanti? Tak mati pun cacat seumur hidup. Argh!!! Almari baju ni macam muat aje aku nak menyorok. Nanti bila diorang tengok aku tak ada mesti majlis ni batal. Yes!
Bunyi ketukan pintu sudah kedengaran. “Syuk, bukak pintu ni. Pengantin lelaki nak masuk ni, nak sarung cincin. Syuk!” suara mak disebalik pintu.
“Syuk, kau ada kat dalam ke?” suara Nina pulak. Ish, tak habis-habis dengan soalan tak cukup sifat dia. Kalau pintu kunci tu mestilah aku ada kat dalam. Nina, Nina.
“Cuba cari kunci Limah, entah-entah pengsan Syuk kat dalam tu.” Celah suara Nek Wan Mah pulak. Sejurus selepas itu riuh suara di luar bilik gara-gara aku tak nak bukak pintu. Biarkan!
“Biar saya pecahkan aje pintu ni, nek.” Kali ni Iqmal pula mencadang. Mamat ni lagi dashyat. Tak sedar diri pengantin lelaki ada ke nak pecahkan pintu. Tapi aku pun sama jugak, tak nak bukak pintu. Huuu…
“Entah-entah dia dah lari terjun ikut tingkap tak? Abang Mat, tolong pergi tengok kat tepi  rumah.” Arah satu suara yang aku tak berapa nak kenal. Adehh, macam dah nazak sangat dah keadaan ni. Nak keluar ke tak nak?
“Eh, pengantin tak ada Limah! Syuk dah lari!” Jerit Nek Wan Mah sebaik pintu bilik berjaya dibuka. Kecoh rumah dua tingkat itu dengan beita gempar dari Nek Wan Mah.
“Ya Allah, Syuk! Kenapa kau buat mak macam ni, Syuk!” laung mak dengan tangisan hiba dia. Aku yang dah mula berpeluh kepanasan dalam almari macam nak meletup dah. Dengan baju pengantin sarat ni, aku rimas!
“Opocot!!!” aku menjerit kecil apabila pintu almari dibuka dan tak tahulah kenapa aku boleh tertolak diri sendiri sampai aku terkeluar dari perut almari tu dan terjatuh atas Iqmal.
Nah, kau! Cantik punya landing aku baring atas Iqmal depan para penonton. Songkok Iqmal dah tergolek kat kaki siapa-siapa tah. Inilah patung cendana versi pengantin antara aku dengan Iqmal. Masing-masing terkaku.
“Bertuah punya anak! Dia boleh pergi menyorok dalam almari tu! Bangun! Buat malu mak aje, Syuk ni!” mak merentap aku bangun dari badan Iqmal. Beberapa orang lain turut membantu Iqmal bangun dan songkoknya dipakaikan semula.
Dalam pada kecoh itu Nek Wan Mah masih juga menyuakan bekas yang berisi cincin kepada Iqmal yang kemudian cincin emas putih bertahta delima merah itu dia sarungkan ke jari manisku. Tiba-tiba suara sumbang menyakat kami semasa Iqmal mahu mengucup dahiku.
“Kan pengantin dah batal air sembahyang tadi, ulang semula!” usikan itu disahut dengan gelak ketawa dari penonton-penonton yang melihat kami. Aku benci siapa yang buat lawak bangang tu. Elok kenen dengan Nina!
“Lain kali kalau nak menyorok, jangan pakai baju. Senang dah tak payah bagi klu baju tersepit kat celah pintu almari.” Bisik Iqmal ketika kami diminta duduk di atas katil untuk sesi bergambar akad nikah. Aku menoleh kearahnya dengan satu pandangan yang aku tafsirkan sebagai isyarat aku akan jadi janda. Klik! Saat itu dirakam kamera.

SEBULAN bergelar pengantin baru cukup menyeksakan aku. Lagi seksa bila Iqmal mendera aku secara mental dan fizikal dengan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia ingat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan aku ni sijil cap kaki ayam dalam tin? Aku tak nak duduk rumah saja, aku nak kerja. Aku nak cari duit sendiri. Simpanan aku masa di Michigan dulu dah nak habis. Aku tak nak si gorilla ni yang bagi duit, tapi dah dia bank in dalam akaun aku terima je la. Huuu…
Hubungan kami berjalan lancar dengan setiap kali berbalas sindiran pedas. Masakan aku semua pun pedas-pedas belaka. Padan muka dia terbakar lidah dengan masakan aku tapi aku jugak yang menderita bila dia suruh aku habiskan makanan yang aku masak tu. Bengang aku! Rumah dua tingkat yang kami duduk sekarang ni macam tak betul je aku rasa. Kami dua aje tapi rumah bukan main besar! Penat aku nak kemas, tau tak?!
“Dalam banyak-banyak cabaran aku kerja dengan manusia ni, tak sangka bini sendiri macam nak jaga lembu sekandang. Payah!” perli Iqmal bila aku buat muncung itik sebab tak suka dia mengarah aku itu ini. Dia kata aku lembu? Kurang asam punya laki!
“Awak tu la, gorilla!” semburku berani. Peduli apa aku!
“Awak kata siapa?” terangkat kening Iqmal mendengar cemuhanku. Perlahan-lahan dia menghampiriku. Aku buat-buat berani padahal aku dah plan nak buat strategi melarikan diri. Kalau lepas, aku nak lari jalan kaki balik rumah mak lepas tu mengadu kat mak yang Iqmal dera aku. Ok, set!
“Awak tu, gorilla tak ada adab! Tak tahu hormat orang lain!” cemuhku semakin galak. Senduk dah ready kat tangan. Ok, inilah masanya. Bersedia. Satu, dua…
Cuppp!!!
“Apa ni?! This is not the plan! Semula!” jeritku sambil meronta dari genggaman Iqmal.
“Semula? Okey,” tersengih-sengih Iqmal memelukku sambil cuba untuk menciumku lagi tetapi aku rancak meronta. Benci, benci, benci!
“Tipu! Tak aci!” rontaku sedaya upaya. Senduk tadi entah ke mana tercampak.
“Aci kat India.” Aku mencebik mendengar gurauannya. Rontaanku sudah berhenti. Penat!
“Syuk, you are my wife now. No matter what you are planning to do on me, I will not let you go. I will make you accept me and love me as your husband,” ujar Iqmal kini dengan pegangannya yang sudah renggang. Aku memandangnya dengan jelingan tajam.
“I don’t believe in love! Love is…” belum sempat aku menghabiskan ayat, Iqmal mengucup bibirku lagi.
“Love is you, sayang.” Ucap Iqmal lembut bersama senyuman menggodanya. Aku terkesima. Alamak, panahan dewa asmara!
“Menyampah! Stop it!” pintaku setelah hampir lemas dengan kelakuan suamiku itu. Ish, malu pulak aku dia ni.
“Abang minta maaf atas kekasaran abang dulu dan sekarang tapi abang janji takkan buat lagi. Abang suka tengok sayang marah-marah buat muncung tapir, comel! But, you fall on me at our wedding as I fall in love with you.” Kata-kata Iqmal sekali lagi membuatkan aku terpana. 
Aduh, sekali lagi gorilla kacak ni buat aku jatuh…jatuh cinta!