Writing Is Just A Gift

Writing Is Just A Gift

Kasih Fazura


KASIH FAZURA

                PETANG Sabtu membuatkan ramai pengunjung terutamanya ahli keluarga datang memenuhi kawasan pantai Batu Hitam, Kuantan. Ada yang berkelah, sekadar melepak dan juga berenang di tepi pantai. Fazura menarik nafas panjang. Kenangan menggamit mindanya seketika. Terasa penuh hatinya mengimbau kenangan manis setahun yang lalu. Jika masa mampu diundurkan kembali pasti dia tidak akan melepaskan peluang itu.
                “Zura, jom balik. Aku nak siapkan assignment lagi ni,” ajak Sarah sekaligus mematikan lamunan Fazura. Fazura sekadar mengangguk lalu bangun menuju ke tempat mereka memarkir kereta awal tadi.
                Ketika dia hendak bangun secara tiba-tiba tanpa sengaja dia berselisih bahu dengan seseorang. Fazura mengaduh sakit akibat impak kuat itu. Dia mengosok-gosok bahunya sambil mencari wajah orang yang menyakitinya. Seorang lelaki botak berkulit sawo matang. Eh…macam kenal?
                “Zura? Eh, buat apa kat sini?” sapa lelaki itu yang juga mengenalinya. Terpancar sinar kegembiraan di wajah lelaki itu sebaik mengenali Fazura. Fazura juga yang masih ternganga.
                “Abang Am… nampak lain…” hanya itu yang mampu diluahkan Fazura yang masih terkesima. Lelaki Yang bernama Am itu ketawa besar. Mengerti maksud kelainan yang dikatakan Fazura. Masa setahun cukup untuk merubah dirinya.
                “Nak balik dah ke? Jom la join abang,” ajak Am sambil menunjuk ke arah rakan-rakannya yang sudah duduk di sebuah meja di sudut restoran.
                “Eh, tak apalah Abang Am. Kita orang ada kerja kat hostel tu, lain kali la eh? Abang lama tak kat Kuantan ni?” Fazura menolak. Sebenarnya dia gugup. Gementar berdepan lelaki itu lagi.
                “Esok abang nak balik KL dah, kalau malam ni macam mana? Zura dah tukar nombor kan? Tak bagitau abang pun ya?” Am menarik muka seakan terasa hati tetapi masih mengukir senyuman. Fazura tersengih sumbing. Akhirnya dia memberikan nombor telefonnya pada Am sebelum meminta diri setelah dipanggil Sarah dan Karina. Walaupun jaraknya dan Abang Am sudah jauh namun jantung Fazura masih berpalu kuat. Pucat mukanya.
                “Zura, tu Abang Am kau kan? Dah kurus dah dia, nampak lagi handsome pulak!” puji Karina nakal. Sarah ketawa kecil. Dia tidak kenal lelaki itu tetapi dia iyakan saja kata-kata Karina.
                “Dialah, aku pun tak sangka. Dah lama aku tak jumpa dia lepas dia kahwin tu,” beritahu Fazura sambil dia cuba menenangkan perasaannya.
                “Bini dia tak ada ke tadi?” tanya Karina ingin tahu.
                “Entah, aku tak nampak pulak tadi. Abang Am pun tak cakap apa-apa. Oh ya, aku tak jadi la ikut korang malam ni. Abang Am nak jumpa aku, esok dia dah nak balik KL. Korang tak kisah kan?” teringatkan janji malam ini, Fazura menjadi gementar lagi. Berdebar-debar menanti waktu siang melabuhkan tirainya.


                AMRAN membawa Fazura menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran berhampiran East Coast Mall. Mereka mengambil tempat di sudut yang agak terpencil dan kemudian memesan makanan. Untuk beberapa ketika mereka kehilangan kata-kata hinggalah pesanan mereka tiba.
                                “Zura habis belajar bila?” tanya Amran sebaik Fazura menghabiskan suapan terakhirnya. Fazura mendongak memandang Amran. Dia mengambil masa terlebih dahulu sebelum menjawab membuatkan Amran ternanti-nanti.
                “Tinggal dua bulan je lagi, kalau dapat result okey dah boleh grad. Kenapa?”
                “Oh, saja tanya sebab rasa macam dah lama sangat Zura belajar. Zura tak balik kampung dah ke? Selalu jugak abang balik tapi abah Zura kata Zura jarang balik,” kata-kata Amran seakan suatu persoalan bagi Fazura. Perlukah dia menjawab?
                “Sibuk, dah masuk final year kan. Abang macam mana lepas kahwin? Mesti best kan? Aisyah tak ikut sekali ke datang Kuantan ni?” Fazura kini mengalih topic perbualan yang lebih ke arah kehidupan baru Amran. Lelaki itu sekadar senyum kecil sambil menunduk sebelum menyedut air minumannya.
                “Aisyah okey je, dia ada kat Penang sekarang. Kerja kat sana, kadang-kadang aje dia balik KL. Abang pun bila ada masa terluang je baru pergi Penang tu, jalan-jalan tengok negeri orang. Minggu depan abang nak balik Kubu Baru, Zura nak ikut?” ceria wajah Amran sebaik bercerita tentang isterinya. Fazura sekadar senyum tumpang bahagia untuk abang sepupunya itu.
                “Tak apalah, Abang Am. Zura malas nak balik,” Fazura memberi alasan. Dia tidak senang pulang ke kampung sementara hatinya masih goyah akibat kenangan lalu.
                “Jom aje la, Aisyah sibuk dia dah jarang sangat balik Kubu Baru. Abang ambik Zura kat hostel minggu depan okey?” beriya-iya Amran mahu Fazura mengikutinya pulang ke kampung. Serba salah pula bagi Fazura yang sememangnya sangat segan jika berduaan dengan sepupunya itu.
                Nanti apa kata abah pulak kalau aku balik sama dengan Abang Am? Kes dulu tu pun orang masih nak ungkit-ungkit takkan nak tempah bala lagi? Cukuplah aku dah malu sekali dulu, aku pun tak nak Abang Am dapat malu lagi.
                “Abang tau apa yang Zura fikirkan. Tak payahlah Zura fikir sangat hal yang dah lepas tu. Abang tak pernah salahkan Zura, Aisyah pun dah lama lupakan hal tu. Lama mana lagi Zura nak menyorok pun,” tutur kata Amran cukup bersahaja namun sangat menyentakkan perasaan Fazura. Dia sememangnya masih risaukan pandangan orang kampung terhadapnya.
                “Zura malu,” gumam Fazura lemah. Airmatanya sudah bertakung ditubir mata menanti saat mahu gugur.
                “Zura nak malu apanya? Malu sebab Zura suka kat abang? Suka kat suami orang? Macam tu?” Amran sudah mula tegas nadanya. Sungguh dia sendiri sudah penat dengan akibat kenangan lalu tetapi dia tidak mahu ambil peduli. Fazura menggeleng laju. Bukan sebab itu tetapi dia malu pada anggapan orang lain terhadap dirinya.
                “Zura tahu abang dah nak kahwin dengan Aisyah tapi Zura masih lagi menggatal kat abang, masih nak keluar sama dengan abang. Abah dah pesan banyak kali tapi Zura yang degil. Bila abang kata nak tarik diri nak kahwin, abah salahkan Zura. Keluarga kita semua marahkan Zura, orang kampung pun pandang serong kat Zura. Zura malu,” adu Fazura bersama airmatanya yang sudah gugur membasahi kedua belah pipinya.
                “Zura… tapi abang tak salahkan Zura pun sebab abang yang salah. Sebab abang yang tak fikir panjang sampai Zura pulak yang jadi mangsa. Abang yang patut duduk kat tempat Zura dulu tapi orang salah sangka, keadaan kita bukan macam tu. Zura janganlah hukum diri sendiri,” Amran menarik tangan Fazura ke dalam genggamannya.
                Sedar perbuatan Amran padanya, Fazura segera menarik tangannya dari pegangan Amran. Airmatanya yang mengalir dikesat bersih dengan tisu. Dia cuba menstabilkan dirinya daripada terus berkeadaan sedih di hadapan Amran. Pandangannya dilarikan setiap kali matanya bertembung dengan anak mata Amran.
                “Dahlah tu, minggu depan kita balik Kubu Baru sama-sam. Biarlah orang nak kata apa sebab cuma kita je yang tahu hal sebenar. Zura pun tak payahlah serabut kepala fikir pasal abang, hal dulu tu. Semua dah lepas dah, sekarang ni kita cuma teruskan kehidupan kita yang sekarang aje. Okey?” pujuk Amran meskipun dia terasa hati dengan reaksi kurang selesa Fazura memegang tangannya tadi. Fazura masih lagi enggan memandang tepat ke wajah Amran tetapi tetap juga mengangguk setuju dengan usul Amran seawall tadi.


                HUJAN turun dengan lebatnya sewaktu Fazura dan Amran tiba di hadapan rumah kediam keluarga Fazura di Kuala Kubu Baru. Berlari-lari mereka memasuki ruang beranda rumah daripada terus ditimpa hujan berat. Habis basah tubuh mereka berdua.
                “Masuk cepat, nanti lagi basah! Lebat betul hujan hari ni,” jerit Mak Kiah, ibu Fazura. Fazura segera masuk kedalam rumah dengan membawa beg sandangnya dan diikuti oleh Amran.
                “Mana abah mak?” tanya Fazura sebaik mereka berada di ruang tamu rumah.
                “Abah pergi surau tadi, hujan lebat ni lambatlah dia balik tu tunggu reda dulu. Dah, Zura pergi masuk bilik cepat mandi lepas tu tukar baju. Nanti demam! Amran pun sama, masuk aje bilik Salman tu. Cepat,” suruh Mak Kiah sambil tangannya lincah membersihkan titik-titik air hujan yang membasahi ruang tamu rumahnya.
                “Bilik Salman kat sebelah sana tu,” Fazura sempat menunjukkan arah pada Arman sebelum dia sendiri hilang di dalam biliknya.
                Hujan masih lagi lebat seperti tadi seperti tiada tanda-tanda mahu berhenti. Mak Kiah mempelawa Arman untuk menikmati minuman petang sekadar memanaskan badan daripada sejuk hari hujan. Fazura duduk di kerusi yang agak jauh daripada Amran. Risau pandangan ibunya jika mereka terlalu rapat. Amran pula sentiasa senyum. Entah apa penyakitnya tetapi disebabkan penampilan barunya itu, senyuman Amran tampak lebih menggoda jika dibandingkan waktu dia berbadan gemuk dulu.
                “Abang Am diet ke setahun ni? Ke abang ambik kursus pelangsingan badan?” senda Fazura sekadar mahu menghidupkan suasana janggal antara mereka. Amran ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.
                “Frust la sebab tu kurus, asyik makan hati je tak makan nasi.” Gelak Amran dengan kata-kata sendiri tetapi lain pula maksudnya pada Fazura. Dia tidak senyum mahupun beri sebarang respon. Betulkah Abang Am makan hati? Kenapa?
                “Sebab kes dulu tu ke?” serkap Fazura teragak-agak. Amran terjeda seketika. Kemudian dia senyum lalu menghirup tehnya yang sudah mula suam.
                “Yang mana satu maksud Zura tu?” sengih Amran sambil melirik ke arah Fazura yang sudah berkerut-kerut keningnya berfikir.
                “Abang janganlah main-main, cakaplah betul-betul. Sebab kes kita dulu ke?” tiada hati untuk Fazura berlawak jika berbincang hal penting.
                “Yalah, maksud abang yang mana satu?”
                “Yang mana satu? Maksud abang apa ni? Ada apa-apa ke yang abang sorok yang Zura tak tahu? Bagitahu laa…” desak Fazura ingin tahu tetapi Amran seakan masih mahu berteka-teki dengannya.
                “Hah, Amran mak kamu tahu kamu ada kat sini?” perbualan saspen di antara mereka terganggu apabila Mak Kiah muncul membawa sepinggan kuih karipap.
                “Rasanya dia tahulah kot,” jawab Amran selamba. Karipap yang masih berasap itu diambilnya satu lalu disuapkan ke dalam mulutnya. Perlahan saja dia kunyah. Panas.
                “Macam mana dengan cerita kamu dengan Aisyah tu? Jadi ke? Kamu dah fikir betul-betul?” soal Mak Kiah bertubi-tubi menyebabkan Fazura jadi sangsi. Ada apa-apa yang dia tak tahu ke?
                Amran tidak terus menjawab sebaliknya dia memandang tepat ke arah Fazura. Melihat reaksi ingin tahu yang jelas terpancar di wajah gadis itu, Amran membatalkan niatnya untuk menjawab pertanyaan Mak Kiah. Dia kemudian berlalu ke ruang tamu selepas mengambil satu lagi kuih karipap. Mak Kiah sekadar menggeleng kepala melihat anak saudaranya itu.
                “Mak, kenapa dengan Abang Am tu?” Fazura mencucuk ibunya. Dia mahu tahu cerita.
                “Kamu tak payah sibuk, ni hal orang tua!” marah Mak Kiah sebelum dia juga berlalu meninggalkan Fazura terkulat-kulat keseorangan. Apa ni?! Ada pakatan haram ke?!


                “ADA orang datang merisik kamu Zura,” beritahu Mak Kiah ketika mereka sedang duduk bersantai di ruang tamu sambil menonton televisyen. Salman yang sedang tekun menilik buku teks Matematiknya mula memasang telinga. Ada orang merisik kakak? Menarik ni.
                “Siapa bu?” tanya Fazura bersama kerutan di dahinya. Inilah kali pertama dia mendengar ada orang merisik dirinya.
                “Adalah, orang kampung ni jugak. Ni cincin tanda, mak tak cakap apa-apa lagi sebab abah sendiri kata ikut kamu aje. Yalah, kamu kan masih tak habis belajar. Abah serah keputusan di tangan kamu aje,” ujar Mak Kiah lembut. Dia tahu apa yang pernah menimpa anak gadisnya itu tidak lama dahulu. Dia juga tahu bukanlah salah anaknya sepenuhnya kerana kesilapan terletak dibahu Amran yang tersilap langkah dahulu.
                “Tak ada gambar ke bu?” Fazura mengambil cincin yang ditunjukkan ibunya. Dia membelek-belek cincin emas belah rotan berukir sedikit dengan warna emas putih.
                “Zura kenal orangnya tapi Zura fikirlah dulu, ibu tak paksa pun.”
                “Abang Am tahu, kan? Sebab tu dia ajak Zura balik kampung ni?” Fazura membuat tanggapan sendiri. Tiba-tiba hatinya jadi sakit. Adakah lelaki itu beranggapan dia masih menaruh harapan padanya hingga dia memaksa aku menerima lelaki lain untuk jadi pengganti? Begitu sekalikah?
                “Dia tahu, dialah yang cadangkan. Mak pun dah puas tanya dia, abah pun dah penat nak menghalang. Jadi kami terima aje,” cerita Mak Kiah. Berdebar juga dia menanti jawapan anak gadisnya itu.
                “Ibu rasa orang tu baik tak?” soal Fazura lagi. Kali ini dia menatap wajah ibunya dalam. Mak Kiah jadi serba salah.
                “Dia baik, kerja bagus, Zura pun ada masa depan cerah dengan dia. Mak doakan yang baik-baik aje,” hanya itu yang mampu diluahkan Mak Kiah. Fazura mengetap bibir. Otaknya ligat berfikir. Sesak rasanya mindanya sekarang. Memikirkan lamaran orang yang dia tidak pasti siapa dan perasaan lamanya yang masih bersarang.
                “Nantilah Zura fikirkan dulu bu,” cadang Fazura. Hanya itu yang mampu dia katakan pada waktu itu. Mak Kiah sekadar mengangguk saja menuruti keputusan anaknya. Anadai dia menerima dia gembira jika tidak mungkin belum jodoh anaknya lagi.
                Amran sedang berbual dengan Pak Saad di beranda ketika Fazura menjenguk ke luar tingkap. Entah apa topic yang dibincang tetapi anak dan bapa saudara itu nampak mesra berbual bersama. Apa agaknya yang sedang bermain difikiran Abang Am sekarang? Apa yang cuba dia rancangkan untukku? Mungkin disebabkan rasa bersalah maka dia bertindak merancang jodohku? Begitukah? Fazura tertanya-tanya hinggakan dia tidak sedar Amran sudah berdiri di sisinya.
                “Skodeng abang ye?” usik Amran mematikan lamunan Fazura. Fazura tersentak lalu cepat-cepat dia beredar.
                “Kenapa abang suruh orang merisik Zura? Apa abang ingat tak ada orang nak kat Zura ke?” soal Fazura sekadar menutup malu namun dia tetap maksudkan kata-katanya itu.
                “Kenapa? Tak boleh?” soalan dibalas soalan. Amran tersengih kerang busuk saat Fazura mencebikkan bibirnya.
                “Abang tak payahlah sibuk-sibuk jodohkan Zura, Zura pun belum teringin lagi nak kahwin. Awal lagi,” Fazura seakan berjauh hati. Entah mengapa.
                “Ke Zura nak jadi bini nombor dua abang?” usik Amran. Fazura bagai dicucuk kejutan elektrik. Tersentak hatinya. Dia memandang tajam anak mata Amran yang tersengih-sengih.
                “Abang jangan nak merepek boleh tak? Senang-senang aje cakap macam tu. Apa abang ingat Zura ni kemaruk sangat ke nak kat abang? Ke abang ingat tak ada siapa nak kat Zura lepas malu dulu? Tak pun abang sangka Zura masih nak kat abang? Dah la, Abang Am. Tak payahlah abang nak kisahkan hal Zura, abang teruskan aje kehidupan abang sekarang ni!” ledakan kemarahan Fazura menarik perhatian Pak Saad dan Mak Kiah. Mereka bagaimanpun tidak mahu masuk campur. Biarlah mereka berbicara sesama mereka meleraikan selisih faham yang terjadi.
                “Jadi maknanya Zura dah tak suka kat abang lagilah, macam tu?” provok Amran dengan kening yang terangkat.
                “Abang ni tak paham bahasa agaknya? Dahlah, Zura malas nak cakap lagi! Buang masa!” dengus Fazura bengis sambil berlalu masuk ke dalam biliknya meninggalkan Amran yang masih mahu berbicara.


                “IBU, Zura terima risikan tu. Ni, Zura dah pakai pun cincin tanda ni. Ibu bagitahulah kat keluarga tu,” tanpa perasaan Fazura memberitahu ibunya yang ketika itu sedang menyapu sampah di laman rumah. Mak Kiah terperanjat tidak menyangka itu tindakan yang diambil Fazura. Sudahkah anaknya itu berfikir sebaiknya?
                “Kamu dah fikir elok-elok ke, Zura?” Mak Kiah mempersoalkan tindakan anaknya. Tugasnya tadi terhenti memberi perhatian pada gadis itu berbicara.
                “Dah mak, Abang Am pun dah seronok dengan Aisyah jadi Zura pun dah tak ada apa yang nak difikirkan. Tak lama lagi Zura habis belajar, bujang lama-lama pun tak bagus jugak. Mak pergilah bagitau orang tu ya? Mak pergi sekarang, biar Zura sapu tu. Pergilah!” entah gelojoh atau apa tetapi Fazura tidak mahu perbualannya dengan Mak Kiah berlanjutan. Takut pula jika terlalu dipersoalkan dia menukar fikiran pula.
Mak Kiah yang terpinga-pinga dengan gelagat Fazura itu tetap juga masuk semula kedalam rumah. Apalah yang difikirkan si Fazura ni. Ketika Fazura sedang leka menyapu halaman, sebuah kereta dipandu masuk ke halaman rumahnya.
Fazura tersentak sebaik melihat kelibat Aisyah yang baru keluar dari perut kereta Perdan V6. Wanita itu bersendirian. Dia mahu apa? Amran awal-awal pagi lagi sudah pulang ke rumah keluarganya yang hanya terletak di kampung sebelah. Agaknya Abang Am tak balik rumah terus kot sebab tu dia ingat Abang Am kat sini lagi.
                “Aisyah buat apa kat sini? Abang Am dah balik rumah dia pagi tadi,” Fazura menyambut mesra sekadar menunjukkan adab yang baik.
                “Tau, saja datang nak jumpa Zura. Lama tak balik kampung, kenapa? Malu?” entah menyindir atau apa tetapi Fazura tetap terasa.
                “Err… sibuk sikit, tahun akhir. Masuklah dulu,” pelawa Fazura bersama senyuman plastic yang keras menguntum senyuman.
                “Tak apalah, sekejap aje ni. Aisyah cuma nak bagi dokumen ni kat Abang Am tadi tapi tak ada orang kat rumah tu yang datang sini, Zura tolong bagi kat Abang Am. Aisyah nak balik Penang terus,” Aisyah menghulurkan sebuah sampul coklat besar kepada Fazura. Teragak-agak Fazura menyambut sampul itu.
                “Kenapa nak cepat? Tak nak singgah dulu?” Fazura masih cuba mahu menahan Aisyah tetapi wanita itu menggeleng keras. Dia kemudian terus berlalu masuk ke dalam keretanya semula dan memandu pergi tanpa Fazura sempat melambai.
                “Siapa tu, Zura?” tanya Mak Kiah melalui jendela rumah.
                “Aisyah bu.” Jawab Fazura perlahan. Sampul coklat itu dia belek. Fazura tergamam. Ada cop mahkamah syariah Selangor. Apa ni? Takkanlah?


                MENANGIS airmata darah sekalipun takkan dapat merubah apa yang telah terjadi. Fazura sudah terkunci mulut saat Mak Kiah memberitahu rombongan meminang akan datang pada hari esok sebelum Fazura berangkat pulang ke Kuantan. Sampul surat yang diberikan Aisyah petang tadi kata abah sudah pun disampaikan pada Arman. Dan kini lelaki itu berada di rumahnya lagi.
                Amran meminta mahu bertemunya tetapi Fazura enggan malah dia langsung tidak mahu keluar dari biliknya. Puas dipujuk Mak Kiah tetapi tidak juga berhasil. Fazura patah hati dengan keputusannya sendiri. Sewaktu dia memberitahu Pak Saad dia mahu membatalkan keputusannya menerima pinangan, mengamuk besar orang tua itu. Katanya sudah cakap takkan mahu ditarik balik? Nanti mereka sekeluarga mendapat malu lagi seperti dulu.
                Disebabkan itulah Fazura berasa marah dan kecil hati dengan Amran. Mengapa lelaki itu menyembunyikan hal sebenar? Aku dibiarkan berteka-teki sendiri dan menimbal balik perasaan sendiri hingga membuatkan aku mengambil keputusan drastic tetapi sekarang apa yang berlaku? Aku juga yang kecundang. Semuanya gara-gara sikap Amran yang selalu ambil keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu.
                “Zura, tolonglah buka pintu ni dulu. Kita bincang elok-elok, Zura.” Pinta Amran sambil mengetuk pintu bilik. Entah yang keberapa kali dia merayu tetapi tidak satu pun yang dhiraukan Fazura.
                “Semuanya sebab abang! Semua salah abang! Abang yang buat Zura jadi macam ni! Abang pentingkan diri!” jerit Fazura dari dalam. Amran mengeluh kesal. Ya, memang salahnya tetapi dia ingin perbetulkan segalanya sebelum terlambat.
                “Abang tau, abang minta maaf tapi Zura dengarlah dulu cakap abang ni. Bukak la pintu ni dulu,” Amran cuba berdiplomasi.
                “Kenapa abang sanggup jodohkan Zura dengan orang lain sedangkan abang dah bercerai dengan Aisyah? Nampak sangat abang memang tak pernah kisah dengan perasaan Zura selama ni, Zura aje yang bertepuk sebelah tangan! Tapi kenapa abang tak pernah berterus terang? Kenapa perlu sakitkan hati Zura dengan cara macam ni?” Fazura menghamburkan amarahnya di dalam bilik membuatkan Amran tidak mampu berbuat apa-apa.
                “Zura, ada sebab abang buat semuanya ni. Tolonglah faham!” Habis ayat Amran itu, pintu bilik terbuka. Terpacul wajah sembab Fazura dengan airmata.
                “Apa yang Zura tak faham?!” herdik Fazura. Kesabarannya kini kian menghilang.
                “Dulu abang sayang Zura tapi sebab Zura sekolah lagi, Zura tolak abang. Jadi abang kenal dengan Aisyah, bila abang bertunang dengan Aisyah tiba-tiba Zura jadi rapat dengan abang. Abang lebih sayangkan Zura sebab tu abang nak batalkan perkahwinan kami tapi semua orang hentam Zura jadi abang terpaksa teruskan walaupun abang tak rela. Abang ingat nak lupakan Zura tapi rupa-rupanya Aisyah tipu abang, dia cuma nakkan harta abang dan ada lelaki lain. Abang jadi lagi sakit hati dan sengsara bila Zura tinggalkan abang, lepas tu menghilang macam tu aje sebab tu abang ceraikan dia. Abang bukan tak mahu beritahu Zura tapi abang nak Zura sendiri yang sedar perasaan abang pada Zura,” penjelasan Amran cukup panjang hingga airmata Fazura menjadi kering. Senyap dia untuk seketika.
                “Ibu tak mahu tak bagitahu terang-terang siapa tunang Zura tu sebab tuan dia tak bagitahu tapi dah alang-alang ni ibu bagitau ajelah. Yang kat depan Zura tu la tunang Zura, “ berita yang Mak Kiah sampaikan pada Fazura membuatkan gadis itu terpempan. Amran mengeluh kecil namun dia membalas pandangan Fazura bersama senyuman kecil dan anggukan sebagai tanda mengiyakan kata-kata Mak Kiah.
                Fazura akhirnya menangis dengan lebih kuat berbanding tadi. Terlepas sudah beban perasaan yang dia tanggung selama setahun ini. Rupa-rupanya Abang Amranlah jodohnya. Fazura menangis semahunya tetapi bukan tangisan pilu. Dia gembira, terlalu gembira!