Writing Is Just A Gift

Writing Is Just A Gift

Gin Dutt, Ali Yan & A Fan

Gin Dutt, Ali Yan & A Fan

            MAK TEMAH membawanya masuk ke dalam banglo tiga tingkat itu dan menuju ke sebuah bilik yang terletak di belakang dapur. Ketika mereka melalui dapur dia sempat diperkenalkan dengan dua orang pembantu, Kak Selma dan Bik Wan. Mak Temah yang berbadan genit itu terkocoh-kocoh mendahului langkah mereka sambil mulutnya becok bercerita itu ini.
            “Kat dalam rumah ni ada enam orang yang kita kena layan kehendak mereka, selain tu kita ada lima orang. Tadi tu yang jemput kamu tu Pak Sahab suami Bik Wan, dia tukang kebun dan pemandu. Tugas kamu cuma perlu pastikan keadaan rumah ni sentiasa bersih, Kak Selma akan bantu kamu. Mak Temah dengan Bik Wan kerja bahagian dapur aje, Puan Sri kadang-kadang memasak juga tapi kami yang bertanggungjawab hal-hal dapur ni. Kamu kena tahu mana dan apa yang Tan Sri sekeluarga buat selalunya. Itu rutin mereka sebab Tan Sri dah tetapkan. Kamu faham setakat ni?” penerangan Mak Temah cukup panjang baginya dan dia hanya mampu mengangguk tanda faham.
            “Anak-anak Tan Sri ada empat orang semuanya. Azfahari yang sulung tapi dia dah berumahtangga jadi dia jarang ada di rumah melainkan kalau isteri dia tiada di Malaysia baru dia balik ke sini. Yang kedua Azharina, Rina kerja dengan Tan Sri tapi dia pun jarang ada kat rumah sebab selalu sibuk. Rina ni garang orangnya tapi dia penyayang dan baik hati. Yang ketiga Azfan, dia masih lagi belajar kat UTM jadi dia pun selalu ada di rumah ni cuma kamu hati-hati sikit dengan Azfan ni sebab dia kuat main orangnya jangan sampai kamu terkena dengan dia pulak. Yang bongsu…”
            “Mak Temah!” sergah seseorang dari belakang Mak Temah menyebabkan wanita yang sudah separuh abad itu terkejut seakan mahu luruh jantungnya.
            “Yan! Kamu ni, suka kejutkan Mak Temah. Nasib Mak Temah ni kuat lagi jantungnya. Hah, kamu dah balik? Dah makan? Kalau Yan nak makan Mak Temah pergi sediakan. Abang kamu tak balik lagi?” bertubi-tubi soalan yang terpacul dari mulut becok Mak Temah.
            Bagaimanapun anak majikannya itu galak mentertawakan Mak Temah. Lucu kerana kata-kata yang dituturkan wanita itu adalah sangat lazim dan dituturkan padanya setiap hari dan setiap kali dia pulang dari keluar tidak kiralah sama ada pulang dari sekolah mahupun keluar bersama teman.
           
            “HAI, aku Ali Yan. Anak bongsu dalam keluarga ni, nama kau?” Ali Yan menghulurkan salam perkenalan.
            “Nur Gina Aqmar Singh Dutt, panggil Gin Dutt saja.”
            “Gin Dutt? Asal nama kau pelik sangat ni? Gin Dutt? Bunyi macam gendut aje tapi memang sesuai la dengan badan debab kau ni,” ejek Ali Yan bersama gelaknya bagaimanapun Gin Dutt langsung tidak mengambil hati. Dia sudah biasa.
            “Kat kampung memang ada yang panggil saya gendut pun,” balas Gin Dutt bersahaja. Ali Yan mematikan tawanya sedar dia sudah terlanjur bicara.
            “Ok, aku minta maaf. So, kau jadi orang gaji baru kat sini? Kenapa? Kau kan muda lagi?” soal Ali Yan. Dia meraup rambut pendeknya ke belakang. Panas.
            “Saya cuma kerja sementara saja sambil tunggu keputusan SPM,” jawab Gin Dutt perlahan.
            “Oh, kau pun budak SPM? Maknanya kita ni sebayalah ya? Aku pun tengah tunggu result SPM ni, kalau gempak papa offer aku study kat overseas ambil business tapi aku tak minat benda-benda tu, aku nak buat buat something yang aku sendiri je boleh buat. Hei, nak jadi partner aku tak?” bersinar-sinar mata Ali Yan setelah mengutarakan impiannya pada Gin Dutt yang baru dia kenali hanya beberapa jam.
            Gin Dutt pula seakan bingung dengan anak muda itu. Terlalu aktif dan terlalu peramah dengannya. Dia jadi malu tetapi sikap bersahaja anak muda itu menjadikan dia tidak terlalu kekok. Mereka sebaya mungkin mereka boleh menjadi rakan yang baik. Fikir Gin Dutt.

            AZFAN memandang Gin Dutt tidak berkelip dari atas hingga ke bawah. Dia tidak percaya mamanya sanggup menggaji gadis sunti itu. Badannya agak berisi, berkulit sawo matang dan rambutnya yang pendek paras bahu menjadikan gadis itu kelihatan comel lebih-lebih lagi ketika dia menyarungkan apron. Azfan jadi geram.
            “Hei, Gendut. Mari sini!” panggil Azfan. Ketika itu dia baru saja pulang dari kampusnya. Keletihan berada di luar sepanjang hari membuatkan dia mahukan sedikit hiburan dan hiburan yang terlintas difikirannya adalah Gin Dutt, pembantu rumah mereka yang baru. Azfan tersengih menyimpan agenda sendiri.
            “Ya, Encik Azfan.” Gin Dutt menghampiri Azfan yang sedang duduk bersenang lenang di sofa ruang tamu.
            “Buatkan saya jus avocado dengan pankek madu, tiba-tiba tekak saya ni nak rasa makanan lain sikit hari ni.” Ujar Azfan sambil melurut tekaknya menunjukkan dia benar-benar mahu sesuatu untuk dimakan.
            “Baik, Encik Azfan nanti saya beritahu Bik Wan.” Gin Dutt sudah berkira-kira mahu beredar tetapi Azfan cepat menghalangnya.
            “Aku nak kau yang buat bukan Bik Wan, kau kan orang gaji jugak kenapa nak suruh Bik Wan pulak?” Azfan kini sudah bercekak pinggang di hadapannya.
Gin Dutt menikus. Dia  serba salah. Bukan dia tidak tahu masak tapi dia bukan ditugaskan di dapur. Dia cuma menjaga kebersihan banglo tiga tingkat itu sahaja.
“Ke kau tak reti masak ni? Aduh, macam manalah mama boleh ambik kau jadi maid ni? Masak pun tak reti, kata dari kampung mestilah budak kampung tahu masak kan?” ejek Azfan tanpa menghiraukan wajah Gin Dutt yang sudah kelat.
Karang aku smash jugak mamat berlagak sombong ni! Gin Dutt mendongkol geram.
“Abang Kipas!” Suara lantang Ali Yan bergema di ruang tamu itu. Dia menjejak masuk ke ruang tamu sambil mengheret beg sandangnya. Melihat penampilan anak muda yang agak selekeh dengan kotoran tanah di hampir seluruh tubuhnya itu sudah tahu dia terlibat dengan aktiviti apa di luar.
“Kau ni main bola ke main tanah, Alien?” perli Azfan dengan sengihan mengejeknya.
Ali Yan mencampakkan beg sandangnya di tepi sofa lalu dikutip oleh Gin Dutt sebaik menerima isyarat dari anak muda itu supaya berlalu. Dia tahu anak muda itu menyelamatkannya dari terus dibuli oleh abangnya. Azfan pun kelihatan tidak sedar keadaan itu.
“Kau ni tak serik ke kena tiau dengan mama? Masih lagi keluar main bola, kalau mama tahu habis la kau.” Ujar Azfan sambil menghidupkan siaran televisyen.
Ali Yan sekadar sengih kerang busuk. “Kalau Abang Kipas tak pecah rahsia takkanlah mama tau. Oh ya, Abang Safari kata dia nak balik ‘hotel’ ni esok dengan orang rumah dia.” Beritahu Ali Yan sekadar berbasa-basi meskipun Azfan sudah tahu hal itu dari mamanya.
“Kak Rimau kata dia belikan kau barang baru, apa dia?” Azfan mengalih topic. Kini dia sudah sengih-sengih menanti jawapan adiknya. Dia juga tahu barang apa yang diberikan Azharina pada adik bongsu mereka itu tetapi dia sengaja mahu menyakat.
“Sebelum tv plasma ni jadi bola, baik Abang Kipas diam tutup mulut jangan cakap banyak! Dah, Alien nak pergi mandi!” Ali Yan tiba-tiba bertukar berang dengan usikan abangnya namun Azfan hanya mentertawakannya.
“Terimalah hakikat wahai adik Alienku sayang!” laung Azfan bersama ketawa besarnya. Suka dia dapat mengenakan adiknya itu. Ali Yan pula membalas dengan menghempas kuat pintu biliknya hingga berdentum banglo tiga tingkat itu tetapi masih lagi terisi dengan gelak ketawa Azfan.
“Mereka tu memang macam tu, Gin. Dua beradik tu selalu bergaduh, saja menyakat siap ada nama panggilan masing-masing. Tan Sri dan Puan Sri selalu marah bila dengar gelaran tu tapi budak-budak ni degil. Kasar kata Puan Sri, sebenarnya Mak Temah tengok empat beradik ni macam tak kisah dengan nama panggilan tu malah mereka nampak lebih rapat dan mesra. Cuma perangai Ali Yan dengan Azfan tu aje yang kadang-kadang buat banglo ni selalu bising dengan suara mereka berdua aje. Kamu ada ni lagilah ada saja benda yang nak direbutkan, digaduhkan. Mak Temah pun pening dibuatnya,” bebel Mak Temah ketika Gin Dutt membantunya menyidai pakaian.
Gin Dutt hanya mendengar tetapi kata-kata Mak Temah meresap terus ke otaknya. Ya, adik beradik tu nampak kasar sesama mereka tapi mereka rapat. Pergaduhan bermaksud kemesraan di antara mereka. Gin Dutt sendiri sedar hal itu.

“GIN DUTT!” panggil Azharina dari tingkat atas.
Gin Dutt yang berada di laman rumah pantas berlari naik ke bilik Azharina yang sudah bercekak pinggang di ambang pintu biliknya. Gin Dutt sudah kecut perut. Apalagi kesalahannya kali ini. Dia risau, cemas, takut dan ragu-ragu.
“Awak ni dah berapa kali saya bagitahu, jangan sentuh baju-baju saya! Saya dah kata saya basuh sendiri, yang awak memandai ambil jugak kenapa? Tenguk kot ni? Kan dah tetas! Awak tahu tak kot ni mahal? Kot ni saya beli kat Belgium tahu?” tengking Azharina sambil mengunjuk-unjukkan kot yang dimaksudkannya.
“Tapi Cik Rina…”
“Sudah! Ini amaran terakhir saya! Awak jangan sentuh barang-barang saya lagi, faham?!” Azharina memberi kata akhir sebelum menutup pintu dengan kuat hampir mengenai muka Gin Dutt.
Sejurus pintu tertutup, Azfan yang muncul entah dari mana tiba-tiba mentertawakannya. Hingga berair mata pemuda itu menggelakkannya. Pasti dia melihat adegan itu tadi. Gin Dutt mengetap gigi, geram. Mesti mamat senget ni yang kenakan aku!
“Gin,” Ali Yan keluar dari biliknya bersama computer ribanya dan pelik melihat Azfan yang sedang galak ketawa manakala Gin Dutt berdiri macam tunggul kayu di hadapan bilik Azharina.
“Ada apa, Ali Yan?” Gin Dutt mengambil keputusan membiarkan saja kelakuan Azfan. Kini dia memberi tumpuan pada Ali Yan pula.
“Apahal dengan Abang Kipas ni? Kena sampuk ke?” soal Ali Yan pelik namun tiada siapa yang menjawab persoalannya. Gin Dutt juga tidak menyahut malah terus berlalu meninggalkan mereka. Ali Yan garu kepalanya yang tidak gatal dan Azfan masih lagi dengan tawanya.


SUDAH lebih empat bulan dia bekerja di banglo milik Tan Sri Faris dan Puan Sri Hana sekeluarga, keputusan SPMnya juga sudah dia ketahui. Alhumdulillah dia mendapat keputusan yang cemerlang dan boleh dia banggakan pada keluarganya di kampung.
Kini dia hanya tinggal beberapa minggu saja untuk menabur bakti pada keluarga itu sebelum dia pulang ke kampung. Kata emak ada sepucuk surat untuknya dari sebuah institusi pengajian tinggi. Gin Dutt mengagak surat itu tentu berkenaan permohonannya yang mahu melanjutkan pelajaran di peringkat diploma.
Mak Temah, Bik Wan dan Kak Selma sudah pun dikhabarkan tentang niatnya mahu berhenti dan mereka juga menyambut baik malah mereka menyatakan sayang melepaskan Gin Dutt yang rajin bekerja selain sabar melayan karenah majikan mereka terutama sekali anak-anak majikan mereka.
Ali Yan juga ada mengkhabarkan keputusannya pada Gin Dutt, nyata anak muda itu tidak menghampakan keputusannya. Nakal-nakal anak muda itu masih mampu meraih keputusan yang membanggakan. Mereka setaraf dari segi pencapaian pelajaran. Gin Dutt merasa gembira untuk anak muda yang banyak menolongnya itu.
Azfan pula masih tidak berubah perangainya yang suka mengenakannya dan mentertawakannya. Walaupun Ali Yan cuba menyelamatkannya dari terus menjadi mangsa usikan Azfan namun ada ketika anak muda itu kalah juga dan sekaligus menjadi bahan tawa Azfan. Bilalah pemuda itu mahu berubah? Bisik hati kecil Gin Dutt.
“Aku dapat tawaran kat Europe, bulan depan aku dah kena fly ke sana. Kau macam mana?” tanya Ali Yan sewaktu dia membantu Gin Dutt mengemas biliknya.
“Mak kata surat tu dari UiTM, so mungkin kat situ la. Saya tak kisah pun dapat mana-mana asalkan boleh lanjutkan pelajaran. Awak dah kira beruntung dapat peluang belajar di luar negara sebab awak mampu,” luah Gin Dutt menampakkan rasa terkilannya.
“Kau nak belajar kat luar negara macam aku?” soal Ali Yan. Dia kini sudah baring menelentang di atas katilnya. Gin Dutt memandang sekilas sambil meneruskan tugasnya mengutip pakaian Ali Yan yang bersepah di sudut belakang pintu.
“Semua ada angan-angan macam tu tapi saya ni tak mampu, apapun dalam negara pun dah kira bertuah sebab saya masih mampu lanjutkan pelajaran. Saya nak tolong keluarga saya,” tutur Gin Dutt bersama semangat yang muncul tiba-tiba dari hatinya.
Ali Yan bingkas bangun sambil mengangkat kaki kanannya di atas katil. Dagunya dipanggung pada lututnya cukup bersahaja. Gin Dutt tersenyum melihat perangai anak muda itu. Dia kemudian keluar dari bilik Ali Yan bersama sebakul kain baju milik Ali Yan. Pada ketika itulah dia terserempak dengan Azfan yang baru meniti anak tangga.
“Bila kau nak berhenti?” soal Azfan ketika mereka berselisih di laluan tangga. Gin Dutt terpempan seketika. Okey, itu kali pertama dia cakap elok-elok.
“Err…minggu depan Encik Azfan,” beritahu Gin Dutt sedikit bergetar suaranya. Risau.
“Hmmm…” hanya itu yang dibalas Azfan sebelum dia berlalu. Gin Dutt mengerut dahi pelik. Hanya itu? Apakah?

BEG pakaiannya sudah dimasukkan ke dalam kereta oleh Pak Sahab. Gin Dutt juga sudah bersalaman dengan Mak Temah, Bik Wan dan Kak Selma. Sampul coklat yang berisi wang dimasukkan ke beg sandangnya. Puan Sri yang berikan padanya semalam selepas makan malam. Kata Puan Sri dia tidak sempat mahu memberikan esok kerana mengikuti Tan Sri Faris ke jamuan amal. Wanita anggun itu juga sempat memeluknya dan memberi kata semangat. Puan Sri Hana memang baik orangnya.
Gin Dutt masuk ke dalam perut kereta di bahagian depan sebelah pemandu. Pak Sahab akan menghantarnya ke Pudu Raya seperti yang diarahkan Puan Sri Hana. Mak Temah, Bik Wan dan Kak Selma yang berdiri di muka pintu melambainya.
Kereta mewah itu mula bergerak meninggalkan kawasan laman banglo. Gin Dutt menurunkan cermin kereta lalu mengeluarkan kepalanya membalas lambaian Ali Yan yang berlari kecil mengejar di belakang.
“Gina, jangan lupakan aku! Kalau rajin YM aku!” jerit Ali Yan.
“Okey! Jangan lupa saya jugak!” laung Gin Dutt. Hampir menitis airmatanya.
Selepas jaraknya kini jauh dengan banglo megah itu, Gin Dutt mengambil sampul surat merah jambu yang diberikan oleh Ali Yan padanya tadi. Kata Ali Yan daripada ‘Kipas Susah Mati’. Tahulah siapa yang dimaksudkan gadis itu.
Ya, Ali Yan adalah seorang gadis rupa-rupanya. Mahu saja Gin Dutt membelasah gadis itu kerana mempermainkannya dengan menipu jantinanya melalui penampilannya yang sangat menyerupai lelaki. Itu pun segalanya kantoi beberapa hari lalu kerana bebelan Azharina mengatakan adiknya itu tomboy yang keras kepala. Azfan yang mendengar seperti biasa hanya mentertawakan Ali Yan.
Selama ini dia tidak tahu kerana menurut Ali Yan, dia telah pun ‘merasuah’ seisi rumah itu untuk menutup mulut. Malah Azfan yang suka mengusiknya juga tidak mendedahkan rahsia adik bongsunya itu. Nyatalah kini adik beradik itu kasar tetapi saling menyayangi antara satu sama lain.
Sampul merah jambu itu di bukanya. Amboi wanginya. Letak bedak tepung ke? Gin Dutt tersengih. Takkanlah mamat senget tu buat surat wangi semerbak macam ni, dah gila mental agaknya.
Wah, rantai! Gin Dutt mengeluarkan seutas rantai emas putih dari sampul itu. Loketnya kecil sahaja dengan huruf G, tentu berdasarkan namanya. Gin Dutt tersenyum kecil. Betulkah Azfan yang memberikannya atau Ali Yan yang sekadar mahu mengenakan abangnya itu? Gin Dutt tertanya-tanya.
Sepucuk surat yang turut terdapat di dalam sampul itu dia keluarkan. Ada tulisan. Selesai membaca isinya Gin Dutt tersenyum gembira sambil memeluk surat itu dan rantai emas putih itu digenggamnya dengan hati yang lapang.

Anak pipit terbang pergi,
Terbang mencapai awan di langit;
Capai impian di puncak tinggi,
Jangan lupa kenangan ‘pahit’.

Masa berlalu walau berlari laju,
Tercungap penat tak cukup nafas;
Si Gendut pergi tak jumpa aku,
Harap dia tak lupa pada si Kipas.

Ikhlas dari,
Muhammad Azfan Akmal Faris
a.k.a Kipas Susah Mati.